Thursday 27 August 2020

surat untuk andri


 Andri,

Tak mengapalah kalau kita miskin harta. Dengan sedikit harta yang kita ada, berbuatlah sebaiknya pada jalan Allah. Semoga diterimaNya.

Buat apa harta yang banyak, tapi hidup dilaknat Allah. Buat apa kebolehan yang tidak digunakan  di jalan Allah. Buat apa ?

Alang-alang hidup susah, biarlah di jalan yang Allah redha.

Amatlah rugi kalau di dunia pun hidup susah, di akhirat nanti dibangkitkan bersama mereka yang sesat dan dimurkai.

Wednesday 26 August 2020

Tuesday 25 August 2020

jauhnya pemandangan

 

Setiap kali melalui tanah-tanah terbiar di ceruk pedalaman, aku fikir ekonomi Kedah mesti berteraskan pertanian. Sayang kalau tanah ini jadi kawasan industri perkilangan. Kalau anak-anak muda tak minat bertani berkebun dan berladang, biarkan mereka pergi. Kerajaan negeri harus berfalsafah pertanian untuk menggerakkan industri tani. Cari orang-orang yang betul-betul berminat. Gajikan mereka yang minat bertani sahaja. Majukan tanah-tanah terbiar untuk dijadikan ladang, dusun dan kebun. Buah-buahan tempatan, padi, daging lembu, ayam ada pasaran tempatan. Biarlah rakyat Malaysia makan makanan yang baik-baik.

Wednesday 19 August 2020

aloud

 

Why did he resign ?

Because deep inside he knew Anwar could not become PM. So he delayed the power shift while planning a strategy. But he was indebted to Anwar and was bound by his promise. Nevertheless pressure kept mounting from people around him who did not want Anwar. He succumbed.

 There was a turmoil after the resignation, but I think it would finally settle.

We must learn to do without him.

Tuesday 18 August 2020

desiderata

 

Apa aku faham tentang politik Kedah ?

Biar aku berbicara sebagai seorang penduduk Kedah, sebagai pekerja firma guaman yang makan gaji, dan sebagai penduduk yang terancam oleh Covid-19.

Aku rasa kerajaan sekarang patut diteruskan kerana pertukaran kerajaan akan merugikan rakyat Kedah. Aku ingin melihat kestabilan kerajaan sedia ada, dan Covid-19 yang melanda dunia ini tentu ada peranannya dalam sikap ini. Dah rasa dah macam mana Pakatan Harapan memerintah.  

Apa yang nak dimarah sangat Perikatan Nasional antara PAS dan UMNO ini ? Nampak okay je. Aku ingin beri kepercayaan kepada kerajaan baru ini. Pembangunan memang slow. Dulu-dulu pun slow juga kan ?


 


 


Monday 10 August 2020

Andri

Andri ingin nak bela lembu pula. Dia dah jaga ayam dan kambing. Sekarang nak bela lembu pula. Hmmmm…

Si kacak yang akan jadi taukeh lembu, kambing dan ayam organik. Mesti ada falsafah yang meyakinkan tentang penternakan. Pendapatan tetap daripada lembu dan kambing  dalam masa tiga tahun.

Apa-apa sahaja yang baik-baik untukmu….


Thursday 6 August 2020

Batu Belah Batu Bertangkup

Batu Belah Batu Bertangkup

 

Ini versi yang aku dengar ketika aku kecil. Ceritanya pendek sahaja, tanpa ditokok tambah dengan versi istana yang lebih fancy.

 

Pada satu zaman dahulu, ada seorang janda yang tinggal dengan dua anaknya Melur dan Pekan. Melur gadis yang sedang meningkat dewasa, dan menjaga adik lelakinya Pekan bila ibu janda itu keluar mencari rezeki.

 

Pada suatu hari, semasa menangkap ikan di sungai, janda itu mendapat telur ikan temakul. Telur ikan temakul sangat rare, even pada zaman itu. Ia sedap digoreng dan dimakan dengan nasi panas-panas. Dia pun membawa balik telur itu untuk dimasak oleh Melur.

 

Janda itu pergi mandi sebelum menikmati nasi dengan telur ikan temakul. Di dalam mindanya terbayang telur ikan temakul goreng yang sangat sedap.

 

Setelah digoreng Melur membahagikan telur itu kepada tiga bahagian, iaitu untuk ibu mereka, untuk Melur dan untuk Pekan. Pekan menangis lapar nasi. Oleh itu Melur mencedok nasi dan memberikan bahagian telur ikan Pekan untuk dimakan oleh Pekan. Oleh kerana sangat sedap, Pekan menangis minta lagi. Melur terpaksa memberi bahagiannya kepada Pekan.

 

Setelah habis, Pekan menangis lagi. Dia meraung-raung sukar dipujuk. Melur terpaksa memberikan bahagian ibu mereka kepada Pekan dan menggantikan bahagian ibu mereka dengan telur ayam goreng.

 

Bla ibu mereka balik dari kali Melur menghidangkan nasi panas dengan telur ayam goreng. Alangkah terkejutnya janda itu melihat yang terhidang di depannya adalah telur ayam, bukannya telur ikan temakul.

 

“Tadi adik Pekan menangis. Dia tak boleh dipujuk. Melur terpaksa memberikan bahagian ibu kepadanya. Bahagian ibu sudah habis dimakannya.”

 

Mendengar kata-kata itu, janda itu merasa sangat kecewa dan marah. Dia menjadi emo tak tentu fasal. Dia terus lari sehelai-sepinggang ke arah hutan belakang rumah mereka.

 

“Batu Belah Batu Bertangkup. Ambillah aku!”

 

Dia menyeru-nyeru nama Batu Belah Batu Bertangkup dalam nada sayu dan merajuk. Di dalam huran itu ada seketul batu besar dikenali sebagai Batu Belah Batu Bertangkup. Menurut cerita orang, Batu itu boleh terbelah, merenggang dan terbuka dan menelan objek yang masuk ke celahnya sebelum ia tertutup kembali. Tentulah objek itu akan tersepit di antara dua belahan batu itu.   

 

Ibu itu hilang di celah belahan batu itu. Cerita itu berakhir di situ sahaja. Tragis bukan ?

 

Tujuan janda itu berbuat begitu adalah kerana dia merajuk dengan perbuatan anak-anaknya. Sebagai seorang dewasa aku fikir ibu itu terlalu emo dan membuat tindakan melulu seperti itu. Dia sanggup membunuh diri meninggalkan anak yang masih perlukan jagaannya. Entah, aku tidak tahu. Aku bukannya ada anak.

 

Mungkin cerita itu diulang-ulang kepada anak supaya anak tidak memperkecil-kecilkan peranan ibu. Jangan sekali-kali lupa bahagian ibu. Sebagai anak kecil, tentu dia tidak mahu kehilangan ibu.

 

Mungkin brutal juga cara ibu itu berfikir. Apa yang aku boleh kata, kalau kita serahkan segala-galanya kepada Allah, ini semua tidak akan berlaku. Jangan emo, jangan emo, jangan emo. Apalah sangat telur ikan temakul itu, ya ?