Thursday 6 August 2020

Batu Belah Batu Bertangkup

Batu Belah Batu Bertangkup

 

Ini versi yang aku dengar ketika aku kecil. Ceritanya pendek sahaja, tanpa ditokok tambah dengan versi istana yang lebih fancy.

 

Pada satu zaman dahulu, ada seorang janda yang tinggal dengan dua anaknya Melur dan Pekan. Melur gadis yang sedang meningkat dewasa, dan menjaga adik lelakinya Pekan bila ibu janda itu keluar mencari rezeki.

 

Pada suatu hari, semasa menangkap ikan di sungai, janda itu mendapat telur ikan temakul. Telur ikan temakul sangat rare, even pada zaman itu. Ia sedap digoreng dan dimakan dengan nasi panas-panas. Dia pun membawa balik telur itu untuk dimasak oleh Melur.

 

Janda itu pergi mandi sebelum menikmati nasi dengan telur ikan temakul. Di dalam mindanya terbayang telur ikan temakul goreng yang sangat sedap.

 

Setelah digoreng Melur membahagikan telur itu kepada tiga bahagian, iaitu untuk ibu mereka, untuk Melur dan untuk Pekan. Pekan menangis lapar nasi. Oleh itu Melur mencedok nasi dan memberikan bahagian telur ikan Pekan untuk dimakan oleh Pekan. Oleh kerana sangat sedap, Pekan menangis minta lagi. Melur terpaksa memberi bahagiannya kepada Pekan.

 

Setelah habis, Pekan menangis lagi. Dia meraung-raung sukar dipujuk. Melur terpaksa memberikan bahagian ibu mereka kepada Pekan dan menggantikan bahagian ibu mereka dengan telur ayam goreng.

 

Bla ibu mereka balik dari kali Melur menghidangkan nasi panas dengan telur ayam goreng. Alangkah terkejutnya janda itu melihat yang terhidang di depannya adalah telur ayam, bukannya telur ikan temakul.

 

“Tadi adik Pekan menangis. Dia tak boleh dipujuk. Melur terpaksa memberikan bahagian ibu kepadanya. Bahagian ibu sudah habis dimakannya.”

 

Mendengar kata-kata itu, janda itu merasa sangat kecewa dan marah. Dia menjadi emo tak tentu fasal. Dia terus lari sehelai-sepinggang ke arah hutan belakang rumah mereka.

 

“Batu Belah Batu Bertangkup. Ambillah aku!”

 

Dia menyeru-nyeru nama Batu Belah Batu Bertangkup dalam nada sayu dan merajuk. Di dalam huran itu ada seketul batu besar dikenali sebagai Batu Belah Batu Bertangkup. Menurut cerita orang, Batu itu boleh terbelah, merenggang dan terbuka dan menelan objek yang masuk ke celahnya sebelum ia tertutup kembali. Tentulah objek itu akan tersepit di antara dua belahan batu itu.   

 

Ibu itu hilang di celah belahan batu itu. Cerita itu berakhir di situ sahaja. Tragis bukan ?

 

Tujuan janda itu berbuat begitu adalah kerana dia merajuk dengan perbuatan anak-anaknya. Sebagai seorang dewasa aku fikir ibu itu terlalu emo dan membuat tindakan melulu seperti itu. Dia sanggup membunuh diri meninggalkan anak yang masih perlukan jagaannya. Entah, aku tidak tahu. Aku bukannya ada anak.

 

Mungkin cerita itu diulang-ulang kepada anak supaya anak tidak memperkecil-kecilkan peranan ibu. Jangan sekali-kali lupa bahagian ibu. Sebagai anak kecil, tentu dia tidak mahu kehilangan ibu.

 

Mungkin brutal juga cara ibu itu berfikir. Apa yang aku boleh kata, kalau kita serahkan segala-galanya kepada Allah, ini semua tidak akan berlaku. Jangan emo, jangan emo, jangan emo. Apalah sangat telur ikan temakul itu, ya ?


No comments:

Post a Comment